fbpx

Pekebun maut disambar petir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat Abd. Wahab dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk dibedah siasat.

DUNGUN – Seorang warga emas ditemui mati di kebun durian miliknya di Kuala Jengai, dipercayai dipanah petir hari ini.

Mangsa, Abd. Wahab Talib, 64, ditemui dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri di bawah sekeping atap zink pada pukul 5 petang oleh salah seorang ahli keluarganya.

Menantu mangsa, Mazni Harun, 47, berkata, bapa mentuanya keluar ke kebun pada pukul 1.50 tengah hari sebelum perkampungan tersebut dilanda hujan lebat dan ribut petir tidak lama kemudian.

“Ayah keluar awal sebelum hujan. Adik ipar saya mencari ayah di kebun selepas ayah masih belum pulang pada pukul 5 petang.

“Sebaik sahaja tiba di kebun, adik ipar terkejut tengok ayah berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dalam keadaan terlentang,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Dungun di sini hari ini.

Mazni berkata, berdasarkan kesan terbakar pada rambut bapa mertuanya, dia percaya lelaki itu telah disambar petir.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah yang dihubungi mengesahkan laporan kejadian tersebut.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) ,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI