CYBERJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas di Taman Tasik Cyberjaya, Semarak Garden Cyberview di sini esok dengan meluaskan radius kawasan pencarian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Shafizol Mohamad Nor berkata, operasi SAR hampir empat jam bermula pada pukul 2.04 petang dan tamat kira-kira 5.40 petang tadi tidak berjaya menemui mangsa.
“Sekiranya mangsa gagal ditemui sehingga malam, operasi SAR akan diteruskan esok dengan meluaskan radius kawasan pencarian,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Mohd. Shafizol berkata, dalam operasi petang tadi, khidmat dua anjing pengesan (K9) turut digunakan bagi mengesan mangsa terbabit.
Katanya, unit K9 dari ibu pejabat itu dibawa untuk menyertai operasi mengesan mangsa berusia lingkungan 30-an itu.
“Unit K9 mengenal pasti suatu ‘spot’ dan operasi SAR dengan kaedah pencarian di permukaan tasik giat dilakukan petang tadi dengan tertumpu pada jarak 10 meter dari tebing tasik dengan kedalaman antara tiga hingga empat meter,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang lelaki dipercayai kurang siuman dikhuatiri lemas selepas tergelincir ke dalam tasik di Taman Tasik Cyberjaya. – K! ONLINE