fbpx

Nelayan dikhuatiri lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat di Pantai Sungai Ular di Kuantan hari ini.

Oleh KHAIRULMIZAN YAHYA

KUANTAN – Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas hilang ketika berenang ke pantai selepaskan melabuhkan bot miliknya di Pantai Sungai Ular di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa, Mohd Shahrudin Rameli, 25, dikatakan turun ke pantai berseorangan bagi melabuhkan bot miliknya sebagai persiapan untuk turun menangkap ikan keesokan harinya.

Abang mangsa, Mohd Rozli Rameli, 40, berkata sudah menjadi rutin nelayan di kampung berkenaan termasuk mangsa melabuhkan bot di kawasan dalam bagi mengelak bot tersadai ketika air laut surut.

“Sebelum kejadian dia bersama saya tidak jauh dari pantai namun dia turun ke pantai berseorangan untuk melabuhkan bot kerana esok pagi kami akan keluar ke laut bersama.

“Namun selepas beberapa minit dia tidak muncul semula dan kelibatnya juga tidak kelihatan ketika saya jenguk dari jauh menyebabkan saya berasa bimbang dan tidak sedap hati, “ katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Mohd Rozli berkata, dia kemudian turun ke pantai untuk mencari adik bongsunya itu serta bertanyakan kepada nelayan lain yang melalui kawasan itu mengenai adiknya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5.57 petang sebelum pasukan bomba bergegas ke tempat kejadian.

“Maklumat awal mendapati mangsa terjun dari bot untuk berenang ke pantai namun dipercayai mengalami kekejangan otot dan tenggelam.

“Pasukan bomba dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kuantan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang awam membuat pencarian di sekitar kawasan berkenaan namun belum menemui mangsa,” katanya.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan kira-kira pukul 7 petang dan akan disambung semula esok. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI