PETALING JAYA – “Bertenang semua di luar sana.”
Demikian respon Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 32, ketika namanya menjadi topik hangat netizen dalam media sosial sejak beberapa hari lalu berhubung isu rentas negeri membabitkan urusan kerja di Pulau Langkawi, Kedah.
Ringkasnya, bekas pengacara MeleTOP itu meminta semua individu yang tidak henti-henti memperkatakan tentang dirinya supaya bertenang.
“Tidak lancar lagi, promosi percuma sudah gegar seluruh negara.
“Syukur rezeki yang Allah SWT atur, sekarang sudah berjuta orang tahu cawangan terbaharu milik saya bakal dibuka di Pulau Langkawi,” tulisnya dalam InstaStory hari ini.
Difahamkan, itu merupakan kenyataan awal yang dikeluarkan isteri kepada pendakwah bebas, Haris Ismail mengenai isu tersebut.
Terdahulu, dia dan suaminya menerima kecaman hebat daripada netizen kerana dibenarkan merentas negeri meskipun atas urusan kerja.
Pada 30 Mac lalu, Kosmo! melaporkan Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, berdasarkan permohonan yang dibuat oleh wakil sebuah syarikat produk minuman di Balai Polis Sri Hartamas mendapati, tujuan utama Neelofa dan wakil syarikat terbabit ke Langkawi adalah atas urusan kerja bukannya untuk berbulan madu.
Untuk rekod, Neelofa dan Haris selamat diijabkabulkan pada 26 Mac lalu dalam sebuah majlis bertutup di sebuah hotel terkemuka di ibu negara. – K! ONLINE