PASIR MAS – Mayat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas ditemui di dalam tali air Kampung Kerasak dekat Bunut Susu di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat itu pada pukul 9.10 pagi.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota polis telah melakukan pemeriksaan sebelum menemui mayat lelaki berkenaan di dalam tali air tersebut.
“Polis kemudian telah berjumpa saksi awal di lokasi kejadian yang mengaku sebagai abang kepada mangsa.
“Berpandukan kepada seluar dan bentuk jam yang dipakai mangsa, lelaki itu mengaku bahawa mayat yang ditemui itu adalah adiknya,” ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Mohd. Nasaruddin memberitahu, jenazah mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk pemeriksaan lanjut.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – K! ONLINE