MERSING –Sebanyak lapan buah bot nelayan tempatan kelas C serta 52 orang nelayan Vietnam yang berada dalam keadaan mencurigakan berjaya ditahan pihak Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Mersing semalam.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kesemua mereka ditahan di sebuah jeti haram pada posisi 3.2 batu nautika dari muara Sungai Endau sekitar jam 8.45 malam.
“Tiga bot yang ditahan dikesan memasuki Sungai Endau dalam keadaan mencurigakan dan Zon Maritim Mersing terus bertindak dengan mengatur gerak anggota serta aset untuk membuat pemeriksaan.
“Pada masa yang sama Zon Maritim Mersing juga telah menerima aduan awam berkaitan sekolompok bot nelayan tempatan yang mencurigakan bertambat antara satu sama lain di sebuah jeti haram sekitar Sungai Endau.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua bot nelayan tempatan kelas C yang bertambat di jeti haram itu dikendalikan oleh 52 kru warga Vietnam berusia 22 hingga 55 tahun,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nurul Hizam berkata, kesemua kru tersebut disyaki baharu tiba dari Vietnam berdasarkan pemeriksaan ke atas data dan rekod daripada sistem GPSHISTORY.
Jelasnya, mereka juga telah mengemukakan dokumen pengenalan diri yang mencurigakan dan lesen bot yang telah tamat tempoh.
“Semua kru ditahan dan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Mersing untuk siasatan lanjut. Kes ini akan disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985,”katanya.-K! ONLINE