fbpx

KSEPT perkasa ilmu kepada warga pendidikan tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Oleh PETAH WAZZAN ISKANDAR

PUTRAJAYA – Konsortium Sumber Elektronik Pendidikan Tinggi (KSEPT) diharapkan dapat meneruskan agenda bagi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan pendidikan tinggi dalam aspek penyediaan sumber khazanah ilmu kepada warga pendidikan tinggi dan orang awam.

Menteri Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, beliau juga berkeyakinan hala tuju konsortium itu akan berfokus kepada inisiatif membangunkan prasarana digital ilmiah sehenti yang menjadi rujukan rakyat Malaysia dan komuniti global.

“Saya sedar bahawa untuk mencapai matlamat ini bukanlah sesuatu yang mudah namun, jika semua berganding bahu, bekerjasama dalam satu kefahaman dan tujuan, saya percaya tiada perkara yang mustahil untuk kita capai.

“Dalam perspektif di KPT, kita juga perlu berani mencabar status quo, membuat perubahan minda, melakukan anjakan paradigma, berfikir di luar kotak serta berkongsi sumber dan kepakaran,” katanya sempena majlis pelancaran Konsortium Sumber Elektronik Pendidikan Tinggi di sini hari ini.

Noraini berkata, sejak enam tahun lalu, Pusat Sitasi dan Infometrik (PSI) telah menyediakan akses kepada pangkalan data Scopus untuk keseluruhan 20 Universiti Awam (UA).

Katanya, sumber maklumat itu menjadi rujukan penting kepada penyelidik di Malaysia untuk menjana penerbitan berimpak melalui jurnal berkualiti yang diindeks oleh Scopus.

“Sepanjang tempoh Covid-19, ternyata output penerbitan ilmiah Malaysia masih meningkat dan mencapai 38,728 dokumen pada tahun 2020 berbanding 37,866 pada tahun 2019.

“Malah sehingga 15 Mac lalu, penyelidik Malaysia telah berjaya menghasilkan 6,374 penerbitan terindeks seperti dilaporkan di dalam pangkalan data Scival pada 22 Mac lalu,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI