BEIJING – Seorang penghantar barang di wilayah Jiangsu, China tular di media sosial apabila dirakam ‘mengangkut’ anak perempuannya berusia dua tahun di dalam sebuah beg ketika melakukan kerja penghantaran.
Menurut akhbar South China Morning Post kelmarin, lelaki dikenali sebagai Li Yuanyuan itu terpaksa membawa anaknya, Fei’er semasa bekerja kerana tidak mampu menghantar Fei’er ke pusat jagaan kanak-kanak.
Yuanyuan bergilir menjaga Fei’er bersama isterinya yang bekerja di sebuah pasar basah selepas anaknya menghidap penyakit pneumonia ketika berumur lima bulan.
“Saya mula membawa Fei’er bersama ketika menghantar barang sejak dia berusia enam bulan iaitu pada Mei 2019. Saya meletakkannya di dalam beg di bahagian hadapan motosikal.
“Dia seorang anak yang baik, sentiasa tersenyum apabila berjumpa pelanggan dan tidak menimbulkan masalah semasa motosikal bergerak,”kata bapa tersebut.
Tambah Yuanyuan, dia sedar risiko yang ditanggung ketika membawa Fei’er bekerja, namun mereka tidak mempunyai pilihan lain.
“Kami tinggal di sebuah bilik seluas 32 meter per segi dengan sewa AS$45(RM186). Ramai yang mahu memberi derma apabila tahu saya membawa Fei’er ketika bekerja tetapi saya menolak kerana berasakan saya masih mampu bekerja untuk menyara keluarga.
“Pada waktu pagi, Fei’er akan mengikut saya bekerja manakala pada waktu petang, isteri akan mengambil alih tugas menjaganya,” ujar Yuanyuan. – Agensi