MANAMA – Prinsipal Ferrari, Mattia Binotto menarik nafas lega selepas melihat jentera pasukannya itu beroperasi dengan baik dan mempamerkan peningkatan positif pada saingan pembukaan Grand Prix (GP) Bahrain pada Ahad lalu.
Meskipun pasukan Itali itu terlepas podium, namun dua pelumbanya Charles Leclerc dan Carlos Sainz masing-masing menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam serta tempat kelapan.
Menerusi data yang diperoleh, Binotto mengakui terdapat peningkatan yang baik pada jentera Ferrari SF21 dan yakin mereka hanya perlu sabar untuk menanti kemenangan yang akan hadir selepas ini.
“Apa yang saya boleh katakan terdapat peningkatan yang positif dan jentera juga lebih stabil jika dibandingkan musim lalu. Sudah pasti saya sangat gembira dengan hasil yang kami peroleh pada aksi pembukaan di Bahrain.
“Prestasi enjin juga dapat dilihat pada jentera Haas dan juga Alfa Romeo. Hasil keputusan tersebut menunjukkan Ferrari ketika ini mempamerkan peningkatan yang agar besar dari pelbagai aspek,” kata Binotto.
Pada musim lalu, Ferrari terperosok prestasi terburuk sepanjang penampilan mereka dalam kancah perlumbaan F1 apabila gagal meraih sebarang kemenangan malah terkeluar dari lima terbaik kategori pengeluar.
Akibat masalah itu, Ferrari telah melakukan rombakan besar-besaran bahagian teknikal sekali gus melihat perubahan besar pada jentera Ferrari SF21.
“Bukan hanya enjin sahaja terdapat perubahan tetapi juga pada sistem casis, aerodinamik dapat beberapa sektor lain. Perubahan ini penting untuk memastikan jentera dapat beroperasi dengan lebih baik berbanding musim lalu,” tambahnya. –AGENSI