LEUVEN – Meskipun menurunkan skuad kedua, Belgium tidak berdepan masalah untuk berpesta gol membelasah Belarus 8-0 pada aksi ketiga Kumpulan E kelayakan Piala Dunia 2022 di Stadium Den Dreef awal pagi semalam.
Pasukan ranking pertama dunia itu kini mendahului carta Kumpulan E menerusi kutipan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri selepas menewaskan Wales 3-1 sebelum terikat 1-1 dengan Republik Czech pada dua aksi terdahulu.
Ketua jurulatih Belgium, Roberto Martinez sudah tentu ‘pening kepala’ untuk memilih skuad terbaik ke Kejohanan Euro pada Jun depan kerana barisan pemain keduanya masih berupaya mempamerkan prestasi berkualiti.
“Saya membuat lapan pertukaran termasuk merehatkan tiga tonggak iaitu Romelu Lukaku, Thibaut Courtois dan Kevin de Bruyne selain mengekalkan tiga pemain sahaja di benteng pertahanan.
“Kesempatan ini ternyata dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain-pemain simpanan yang diberikan pelung beraksi. Mereka membalas kepercayaan ini dengan kemenangan yang cukup bergaya.
“Saya gembira dengan prestasi pemain-pemain yang sebelum ini jarang diberikan peluang seperti Hans Vannaken, Jeremy Doku, Dennis Praet, Michy Batshuayi dan Leandro Trossard serta Adnan Janujaz,” katanya.
Vanaken dan Trossard masing-masing berjaya meledak dua gol dengan baki lima jaringan Red Devils dalam aksi itu dijaringkan oleh Batshuayi, Doku, Praet serta Christian Benteke.
Ia sememangnya meningkatkan semangat Belgium untuk menghadapi lawan-lawan seperti Rusia, Denmark dan Finland dalam saingan Kumpulan B pada Kejohanan Euro yang akan berlangsung dari 11 Jun hingga 11 Julai depan. – AGENSI