SUNGAI BULOH – Sebanyak 1,085 kotak mengandungi minuman beralkohol pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM655,858 dirampas menerusi satu serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Risik Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras di Taman Industri SB Jaya di sini semalam.
Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu turut berjaya menahan seramai lima lelaki tempatan berusia 30 hingga 41 tahun.
“Dalam serbuan berkenaan, pasukan serbuan telah merampas sebanyak 25,448 tin dan botol melibatkan 10,452.52 liter lingkungan antara 4 peratus hingga 42.8 peratus kandungan alkohol.
“Turut dirampas adalah sebuah lori satu tan jenis Daihatsu Super Delta dan satu gulung setem kastam yang disyaki palsu sebanyak 12,000 keping,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Jelas beliau siasatan berhubung kes berkenaan masih dilakukan di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.-K! ONLINE