PETALING JAYA- Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) memperkenalkan produk Akaun Emas YaPEIM dikenali Akaun SERY bertujuan mendidik masyarakat menyimpan emas sebagai aset masa hadapan.
YaPEIM menerusi satu kenyataan berkata, Akaun SERY merupakan satu bentuk simpanan emas yang boleh dibeli secara digital melalui Platform Digital YaPEIM.
“Ia juga boleh juga ditukar kepada emas fizikal bagi emas yang dibeli secara digital dengan caj berpatutan.
“Pelanggan juga boleh menyimpan emas mereka secara fizikal di seluruh 212 cawangan Ar Rahnu YaPEIM di seluruh negara selain membuat pilihan sama ada menjual emas itu secara beperingkat atau tidak menjualnya untuk tempoh 24 bulan dengan harga berpatutan,” katanya tadi.
Katanya, Akaun SERY juga merupakan transaksi jual beli emas serendah RM5 serta boleh dipantau secara dalam talian.
“Akaun itu juga merupakan satu inovasi produk hybrid dalam industri simpanan emas dengan mengetengahkan konsep tunai dan emas di mana ia turut menggunakan kaedah pendigitalan.
“Pembelian emas itu juga boleh dibuat melalui transaksi online disediakan Platform YaPEIMPay menerusi kerjasama dengan rakan strategik perbankan kami,” ujarnya. -K! ONLINE