fbpx

Wujudkan mahkamah khas berkaitan dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

BERCERITA mengenai dadah bukan satu perkara baharu di negara ini.

Ramai yang telah mati akibat dadah sama ada pengambilan dos berlebihan dan dibunuh kerana ti­dak memberikan wang untuk membeli dadah. Lebih kejam, ada yang sanggup melakukan seks asalkan mendapat dadah.

Kesemua disebabkan ketagihan sehingga membuatkan seseorang hilang kewarasan diri.

Realitinya, dadah telah diisytiharkan sebagai musuh utama negara sejak 1983. Penyeludupan dan pengedaran terus berleluasa walaupun ketika pandemik Co­vid-19 melanda di seluruh dunia.

Berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), sejumlah 30 kes dan 40 tangkapan melibatkan sindiket pengedaran dadah menggunakan khidmat penghantaran e-hailing direkodkan sejak 18 Mac 2020 hingga Februari lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador baru-baru ini menegaskan peperangan menentang dadah akan terus digandakan menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).

“Bagi tempoh Januari hingga Februari lalu keseluruhan dadah dirampas bernilai RM245.22 juta melibatkan 70,193.73 kilogram dan 9,752 liter dadah.

“Saya ingatkan ibu bapa khususnya mempunyai anak belasan tahun yang belajar di kolej. Saya ada satu cerita yang didedahkan rakan saya bagaimana anak pintar menjadi pelajar terbaik terjebak dengan dadah dan berakhir dalam keadaan sungguh menyedihkan,” jelasnya.

Pelbagai perkara menyebabkan individu terjerumus dalam dadah termasuk akibat masalah keluarga akibat penceraian ibu bapa. Ini diakui sendiri seorang pengawal keselamatan yang ditangkap dalam Ops Perdana oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Selangor, kelmarin.

“Ibu bapa saya bercerai sejak kecil, kami hidup dalam kemiskinan dan saya tidak merasai belai­an seorang bapa.

“Ini ditambah kerja sebagai pengawal keselamatan memerlukan kudrat lebih untuk berjaga. Jadi, saya mengambil syabu sejak setahun lalu,” katanya kepada penulis.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye ketika dihubungi Kosmo! menegaskan sudah masanya diwujudkan mahkamah khas berkaitan dadah dalam mengadili mereka yang didakwa menjadi pengedar seperti Mahkamah Rasuah.

“Setiap minggu pihak polis dan kastam membuat pendedahan dadah yang dirampas dengan aspek kesalahan pengedaran bahan terlarang itu adalah tidak boleh dikompromi.

“Jadi memang ada asas penu­buhannya sekarang. Sekiranya ber­gantung kepada mahkamah biasa, saya merasakan tidak boleh membawa keadilan dengan cepat. Namun, itu cadangan saya dan terserah kepada pihak badan kehakiman untuk menelitinya,” katanya.

Beliau memberitahu, penu­buhannya juga membuktikan ketegasan kerajaan membasmi pengedaran dadah disebabkan masih ramai sanggup mengambil risiko untuk memperjudikan diri demi kemewahan diri walaupun boleh dihukum gantung sampai mati mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, penggubalan Akta Penyalahgunaan Dadah dan Substan yang akan menggantikan Akta Penagih Dadah 1983 dilihat langkah baik dalam memulihkan para penagih dengan lebih berkesan seterusnya di­terima masyarakat semula.

“Penagih adalah pesakit yang memerlukan rawatan segera dan perspektif berbeza berbanding mereka yang terlibat dalam penyeludupan dan pengedaran dadah,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI