SAKHIR – Prinsipal pasukan Formula Satu (F1) Mercedes AMG Petronas, Toto Wolff mengakui pasukan Red Bull memiliki jentera terpantas pada perlumbaan Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Bahrain Ahad lalu.
Meskipun pelumbanya, Lewis Hamilton memenangi perlumbaan tersebut, namun beliau tidak menafikan Red Bull menunjukkan prestasi cukup meyakinkan menerusi Max Verstappen.
Pada masa sama, Wolff juga tidak menyangka pasukannya boleh memenangi perlumbaan itu kerana Red Bull dianggap sebagai pilihan berdasarkan prestasi ketika sesi kelayakan.
“Jika ada orang beritahu Mercedes boleh memenangi perlumbaan, saya tidak akan percaya kata-kata mereka kerana Red Bull terlalu pantas dan sukar untuk dikejar.
“Walaupun kami dilihat semakin baik berbanding ujian pramusim, namun perlu diakui masih belum cukup pantas. Kami agak ketinggalan ketika sesi kelayakan,” kata Wolff.
Selepas ini, saingan F1 akan berehat selama tiga minggu sebelum meneruskan aksi musim ini pada GP Emilia Romagna di Litar Imola bermula 16 hingga 18 April.
“Bagi saya, Red Bull adalah pasukan pilihan pada musim ini dan sudah pasti sukar untuk kalahkan mereka. Bagaimanapun, kami sentiasa ada strategi untuk atasi mereka,” ujar Wolff. – AGENSI