PONTIAN – Cubaan tiga lelaki yang bertindak sebagai ‘transporter’ (pengantar) dan seorang penjaga yang menyediakan tempat untuk membawa masuk 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) tidak kesampaian apabila ditahan dalam Ops Benteng di tiga lokasi berasingan di sini malam semalam.
Dalam operasi bermula pada pukul 8 malam itu, empat lelaki warga tempatan dan sembilan lelaki serta seorang wanita Indonesia telah ditahan masing-masing berusia antara 18 hingga 46 tahun.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Dimin Awang berkata, serbuan pertama dilakukan di Tanjung Bin di sini.
“Tangkapan melibatkan dua lelaki tempatan yang bertindak sebagai ‘transporter’ serta dua lelaki dan seorang wanita ditahan di dalam kereta Toyota Vios.
“Hasil siasatan ke atas suspek membawa kepada tangkapan kedua di sekitar Lorong Haji Don sebelum seorang lelaki tempatan yang juga ‘transporter’ dan dua PATI diberkas termasuk tekong darat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, dalam serbuan kedua itu, sebuah kenderaan jenis Produa Alza yang digunakan suspek turut dirampas.
Katanya, siasatan ke atas tekong darat warganegara Indonesia itu membawa ke lokasi ketiga di premis di Parit Baran Jalan Sanglang, Sanglang dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang bertanggungjawab menyediakan tempat perlindungan serta lima lagi lelaki Indonesia.
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah lebih RM134,000 termasuk kenderaan. Tangkapan dan rampas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 26(a) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007. -K! ONLINE