PETALING JAYA -Aktor, Remy Ishak tidak menolak kemungkinan untuk kembali menyambung hubungan yang terputus di tengah jalan bersama bekas tunangnya, Ezza Yusof.
Remy,39, berkata, dia sangat menghargai pengorbanan dan kesetiaan Ezza yang sentiasa memahami dirinya.
“Bukan mudah untuk mencari individu yang memahami diri dan kegilaan kita, apatah lagi sebagai pelakon ada sikap serta emosi yang sukar diduga. Sekejap psiko kemudian murung pula.
“Saya sendiri datang daripada keluarga yang bercerai sejak kecil, saya trauma dengan apa yang berlaku dan tidak mahu kisah itu berulang kembali. Jadi saya tidak ralat berkawan untuk tempoh yang lama.
“Biarlah perkahwinan yang dibina itu berkekalan sehingga ke akhir nyawa. Jadi dalam proses pemilihan calon isteri itu, memang ada putus, ada sambung. Mana yang boleh faham kegilaan dan kerjaya kita, perkara itu bukanlah sesuatu yang mudah,” kata Remy kepada K! Online.
Pelakon Pujaan Hati Kanda ini mengikat tali pertunangan dengan Ezza pada Mei 2017.
Hubungan pasangan itu mula menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat apabila dia mengakui dirinya kembali solo menerusi Instagramnya.
“Pengalaman lalu banyak mengajar saya menjadi lebih matang, apatah lagi saya bakal menginjak ke angkat 40 tahun tidak lama lagi.
“Saya tidak mahu memberikan sebarang kenyataan mengenai perkahwinan dan sebagainya bagi menghormati pihak sana agar tidak tersinggung.
“Semestinya saya mahu pengakhiran yang baik buat kami berdua. Saya memohon doa orang ramai juga, dan jika ada berita gembira pasti akan dikongsikan kepada semua,” kata Remy.
Masih mengekalkan hubungan baik dengan Ezza, Remy baru-baru ini meraikan sambutan majlis hari lahir bekas tunangnya itu di sebuah restoran bersama teman-teman.
Dari situ, netizen mula membuat spekulasi bahawa hubungan Remy dan Ezza kembali terjalin.- K! ONLINE