GEORGE TOWN – Anggota bomba mengambil masa hampir setengah jam bagi membantu menyelamatkan seorang wanita yang dipercayai mahu terjun dari tembok penghadang di kilometer 6.5 Jambatan Pulau Pinang, arah pulau di sini hari ini.
Wanita berusia 38 tahun sebelum itu dilihat duduk dalam keadaan bertinggung di tembok konkrit terbabit dengan posisi badannya menghala ke arah laut pada pukul 1.30 petang.
Bagaimanapun, tindakan wanita yang dipercayai datang dengan menunggang motosikal dari Permatang Janggus, Kepala Batas dekat sini itu disedari dua pengguna jambatan berkenaan.
Orang awam terdiri dua lelaki tempatan itu kemudiannya pantas menyambar wanita tersebut sebelum kehadiran pasukan bomba.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Fakharurazi Md. Rejab berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 1.37 petang tadi dan tiba ke situ kurang 10 minit kemudian.
Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian mendapati wanita tersebut terlebih dahulu diselamatkan orang awam dan berada dalam keadaan murung.
“Anggota cuba menenangkannya hampir setengah jam dan dia ada mengatakan mahu terjun dari Jambatan Pulau Pinang disebabkan mengalami masalah keluarga.
“Wanita tersebut kemudiannya diserahkan kepada pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini sebentar tadi.
Fakharurazi memberitahu lagi, operasi menyelamat dengan kerjasama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai itu tamat sepenuhnya pada pukul 3.16 petang tadi. K! ONLINE