LIVERPOOL – Bintang sensasi Liverpool, Mohamad Salah enggan mengesahkan mengenai masa depannya bersama kelab itu sambil mengakui bahawa ia bukanlah bergantung kepada dirinya sahaja.
Biarpun masih berjaya mengekalkan prestasi bersama pasukan itu, namun ia gagal membantu Liverpool berada di kedudukan yang baik apabila sekadar menghuni tempat ketujuh Liga Perdana Inggeris musim ini
“Ia bukan bergantung kepada diri saya sahaja. Kita akan tengok apa yang akan berlaku nanti tetapi saya tidak bersedia untuk bercakap mengenainya ketika ini.
“Hubungan saya dengan pengurus (Jurgen Klopp) adalah seperti biasa melibatkan dua individu yang profesional. Itu yang boleh saya katakan,” katanya.
Spekulasi mengenai Salah yang dipercayai akan meninggalkan Anfield mula bertebaran selepas kelab itu gagal mengekalkan prestasi mereka seperti musim lalu.
Hubungan Salah dan Klopp juga dikatakan sedikit retak ekoran beberapa situasi termasuk ketika pengurus itu mengeluarkannya pada aksi menentang Chelsea sebelum ini.
Dalam pada itu, Salah juga tidak menolak sebarang peluang untuk membawanya ke Sepanyol pada masa hadapan.
“Saya berharap dapat beraksi untuk tempoh yang lebih lama. Kenapa tidak (beraksi di Sepanyol)? Tidak ada orang yang mengetahui masa depan mereka. Mungkin suatu hari, siapa tahun saya akan ke sana (Sepanyol),” jelasnya. – AGENSI