MOSCOW – Rusia mengumumkan pendaftaran vaksin koronavirus khusus untuk haiwan yang dianggap pertama di dunia sebagai langkah penting untuk menghalang perkembangan mutasi virus itu.
Pengeluaran vaksin secara besar-besaran akan bermula April ini.
Agensi pengawas pertanian Rosselkhoznadzor berkata, vaksin yang dipanggil Carnivak-Cov itu terbukti berkesan selepas diuji kepada anjing, kucing, cerpelai, rubah dan beberapa haiwan lain bermula Oktober lalu.
“Semua haiwan yang diberi vaksin dilihat mempunyai antibodi terhadap koronavirus dengan kadar kejayaan 100 peratus.
“Ia adalah pertama di dunia dan satu-satunya produk untuk mencegah Covid-19 untuk haiwan,” kata Timbalan Ketua Rosselkhoznadzor, Konstantin Savenkov selaku wakil agensi itu dalam satu kenyataan akhbar.
Rosselkhoznadzor berkata, perkembangan vaksin itu akan membantu mencegah mutasi pada haiwan dengan memetik keputusan Denmark untuk membunuh 15 juta cerpelai setelah haiwan itu didapati membawa varian virus yang bermutasi pada tahun lalu.
Menurut agensi itu, penyedia kemudahan pembiakan haiwan, syarikat swasta selain negara-negara seperti Greece, Poland, Austria, Amerika Syarikat, Kanada dan Singapura telah menyatakan minat terhadap Carnivak-Cov.
“Penggunaan vaksin tersebut dapat mencegah perkembangan mutasi virus,” katanya.
Pihak tentera di bandar kedua Rusia, Saint Petersburg pada awal minggu ini mengumumkan bahawa anjing tentera akan diberi suntikan vaksin wajib sebelum dikerahkan untuk mengambil bahagian dalam acara memperingati Perang Dunia II di seluruh negara itu pada Mei ini. – AFP