KUALA LUMPUR – Syukur, gembira, teruja, sedih dan bangga.
Itu antara gelojak perasaan dirasai 395 pemilik unit Perumahan Awam (PA) Seri Labuan setelah mendapat gantian satu unit kediaman di Residensi Razakmas 2, yang mana kuncinya disampaikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri pada Jumaat lalu.
Rasa syukur, gembira dan teruja kerana mendapat rumah baharu yang jauh lebih selesa berbanding kediaman asal, manakala rasa sedih kerana mengenangkan ahli keluarga yang telah pergi dahulu tidak sempat sama-sama merasai kegembiraan itu.
Tidak kurang juga rasa bangga kerana mereka kini boleh menyediakan tempat tinggal yang lebih sempurna buat keluarga dan anak-anak.
Bagi seorang penerima, Azmir Salim, 37, kediaman baharu dianggarkan bernilai RM300,000 pada harga pasaran semasa yang diberikan penggantian secara percuma oleh kerajaan dianggap sebagai satu peluang untuk mengubah masa depan.
Jelas pemandu sambilan ini, sebuah kediaman yang lengkap dan kondusif boleh mengubah banyak perkara dalam kehidupan baik dari segi ekonomi mahupun sosial.
“Bagi orang biasa seperti kami, kalau nak beli rumah seperti ini memang akan mengambil masa yang panjang. Dalam kegembiraan ini, ada juga rasa sedih dan terharu kerana teringat akan arwah ibu yang sama-sama mendiami rumah lama seluas lebih 400 kaki persegi di PA Seri Labuan dahulu.
“Setelah mendapat rumah baharu, saya merancang untuk menamatkan zaman bujang. Bosan juga tinggal seorang dalam unit rumah seluas ini,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.
Seorang lagi penerima, Rohani Hussin, 62, berkata, dia terharu kerana setelah lama mengharungi pelbagai cabaran kehidupan sebagai ibu tunggal, dia akhirnya dapat mendiami sebuah kediaman yang besar dan selesa.
“Saya telah tinggal di PA Seri Labuan sejak tahun 1984 dan tidak pernah menjangka akan tinggal di rumah yang begitu selesa serta lengkap dengan pelbagai kemudahan.
“Sebelum ini saya bekerja sebagai pembantu koperasi sekolah dan pembantu tukang masak namun akibat Covid-19 saya tidak lagi dapat bekerja. Kami amat berterima kasih kepada kerajaan yang turut memberikan wang antara RM3,000 hingga RM7,000 untuk berpindah ke rumah baharu dalam suasana ekonomi sekarang,” katanya.
Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada Pelaksanaan Pembaharuan Semula Kuala Lumpur, yang melibatkan pembaharuan semula flat-flat usang berusia melebihi 40 tahun di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Jelasnya, penantian penduduk PA Seri Labuan hampir 10 tahun menunggu kediaman baharu terbela apabila Kementerian dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membeli unit kediaman Razakmas 2 untuk diberikan kepada mereka secara percuma.
“Pemilik PA Seri Labuan yang menduduki rumah berkeluasan 400 kaki persegi hingga 528 kaki persegi dengan hanya satu atau dua bilik tidur kini mendapat rumah berkeluasan 805 kaki persegi dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air.
“Mereka asalnya membeli rumah pada harga antara RM21,000 hingga RM28,000 dan kini menerima hartanah yang nilainya lebih 10 kali ganda berbanding harga asal yang dibayar,” katanya.