SUNGAI BULOH – Polis mengesahkan telah menerima satu laporan polis dibuat oleh seorang penuntut yang mendakwa menjadi mangsa cabul pensyarahnya pada 23 Februari lalu.
Difahamkan dalam kejadian tersebut, mangsa dikatakan telah dicabul pensyarah terbabit semasa di dalam kereta di kawasan parkir pusat beli-belah di Bandar Pinggiran Subang.
Mangsa dikatakan turut diganggu di dalam kelas dengan cuba dipegang tangan selain dihubungi menerusi pesanan aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, laporan dibuat wanita berusia lingkungan 20-an itu pada Isnin lalu di Balai Polis Kampung Baru Subang.
“Saya mengesahkan terdapat laporan yang dibuat oleh mangsa dan siasatan sedang dijalankan.
“Polis akan panggil individu yang terlibat dan meneliti dari pelbagai sudut untuk tindakan lanjut biarpun laporan terbabit telah ditarik semula oleh mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. – K! ONLINE.