fbpx

Penjana KPT-CAP@Industry cipta 3,400 peluang pekerjaan buat graduan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noraini (kiri) menerima kunjungan hormat Zainal Abidin di pejabatnya di Putrajaya semalam.

PUTRAJAYA – Peluang pekerjaan bakal diwujudkan menerusi program Penjana Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) KPT-CAP iaitu Penjana KPT-CAP@Industry yang dijangka memberi faedah kepada kira-kira 3,400 graduan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, inisiatif itu akan mengembangkan lagi jaringan kolaborasi antara KPT dan industri bagi mewujudkan penciptaan peluang pekerjaan.

Beliau berkata, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) telah mengemukakan sejumlah 514 tawaran pekerjaan untuk dipertimbangkan di bawah program Penjana KPT-CAP@Industry.

“Selain itu, KPT juga sedang memuktamadkan rundingan kerjasama mengenai peluang pekerjaan dengan beberapa syarikat lagi antaranya Tenaga Nasional Berhad, Kulim Hi-Tech Park, Huawei, Intel Technology dan Western Digital yang juga turut membantu dalam meningkatkan peluang penempatan kepada graduan.

“Dengan langkah itu, ia secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Terdahulu, Noraini menerusi hantaran di Facebooknya semalam memaklumkan, beliau menerima kunjungan hormat daripada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad dan delegasinya.

Pada pertemuan itu, KPT dan Perodua membincangkan cadangan kerjasama strategik KPT dengan Perodua menerusi inisiatif CEO@Faculty Programme 2.0.

CEO Faculty Programme 2.0 (CFP 2.0) merupakan salah satu inisiatif yang dilaksanakan oleh KPT selaras dengan Lonjakan 2: Kecemerlangan Bakat, Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

Program perintis yang telah bermula pada tahun 2017 itu diwujudkan bagi meningkatkan penyertaan sektor industri dan awam dalam sistem Pendidikan Tinggi Negara melalui perkongsian pengalaman, ilmu dan kepakaran masing-masing.

Noraini berkata, semoga inisiatif tersebut.dapat membantu menangani cabaran kebolehpasaran graduan dan mengurangkan pengangguran akibat pandemik Covid-19.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI