fbpx

Pemilik Global Royalty dijangka datang Malaysia periksa barang kemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pemilik firma barang kemas Global Royalty Trading SAL dari Lubnan, Samer Halimeh dijangka akan memasuki Malaysia melalui pas khas bagi memeriksa 11,991 unit barang kemas yang disita pihak polis dari premis milik Obyu Holdings Sdn. Bhd. di Pavillion Residences pada Mei 2018.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk David Gurupatham yang mewakili firma itu selaku pihak ketiga pada pengurusan kes itu di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Menurut David, anak guamnya kini berada di United Kingdom.

“Buat masa sekarang, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai sekatan di mana negara yang mengalami kes Covid-19 tinggi tidak dibenarkan masuk ke negara kita. Namun ada proses di mana pas khas boleh dimohon sekiranya keadaan sesuai.

“Kami akan membuat permohonan pas khas berdasarkan kebenaran KKM,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin mengesahkan penilaian risiko perlu dibuat bagi mana-mana individu untuk memasuki Malaysia dari United Kingdom dan pihaknya akan mengkaji lanjut prosedur itu.

Faten Hadni berkata berdasarkan simulasi yang telah dilakukan antara pihak pendakwaan, Bank Negara Malaysia (BNM) dan pegawai penyiasat kes, pemeriksaan barang kemas tersebut akan mengambil masa empat hingga lima hari bagi 11,991 unit barang kemas tersebut yang disimpan dalam lebih 90 buah kotak di dalam bilik kebal di BNM.

“Bagi setiap kotak pemeriksaan akan mengambil masa kira-kira 15 ke 50 minit, tapi tempoh ini masih bergantung kepada cara pemeriksaan oleh pihak ketiga. Jadi dalam tempoh satu jam, kami menganggarkan lebih kurang empat kotak akan diperiksa.

Tambahnya lagi, hasil semakan dengan kesemua pihak ketiga dalam kes ini, tarikh lapang mereka adalah pada bulan Ogos.

Dalam prosiding itu, peguam Syahirah Hanapiah dan Iskandar Shah Ibrahim yang juga mewakili pihak ketiga dalam kes ini iaitu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor mengesahkan tarikh tersebut.

Hakim Muhammad Jamil kemudian menetapkan tarikh pada 12 hingga 15 Julai atau 2 hingga 6 Ogos bagi pemeriksaan barang kemas oleh pihak ketiga dan pengurusan kes pada 1 Jun.

Pada 2019, pihak pendakwaan menfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings bagi menyita pelbagai barang termasuk 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.

Wang dan barang kemas itu dirampas oleh pihak berkuasa kerana didakwa terlibat dengan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 3 September 2019, Najib adalah antara yang memohon untuk menjadi pihak ketiga bagi menuntut aset dan wang yang disita oleh pihak berkuasa dari Pavilion Residence di Kuala Lumpur pada 2018, yang didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB selain pihak-pihak lain termasuk Rosmah, UMNO dan firma barang kemas tersebut.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI