HULU TERENGGANU – Penantian seorang wanita untuk bertemu dengan suaminya yang hilang sejak empat hari lalu ketika mandi di Sungai Petuang, Tasik Kenyir di sini berakhir dengan kisah sedih apabila lelaki yang baru dinikahi sejak 10 hari lalu itu ditemui lemas.
Mayat Ami Azzizol Abu Bakri, 22, ditemui terapung oleh seorang pengusaha rumah rakit di tasik tersebut pada pukul 7.10 pagi kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi dia dilihat tenggelam.
Wanita itu, Syarifah Ramli, 19, berkata, beberapa jam sebelum mayat suaminya ditemui, dia telah bermimpi bertemu dengan arwah.
“Dalam mimpi itu, suami meluahkan rasa rindu kepada saya dan meminta pertolongan membantunya untuk timbul di permukaan tasik.
“Sebaik tersedar, saya cepat-cepat membacakan ayat Kursi di permukaan tasik dan dengan izin Allah, jasad suami saya ditemui pagi tadi (semalam).
“Saya sedih sangat tetapi sekurang-kurangnya dapat menatap wajahnya buat kali terakhir,” katanya ketika ditemui di Hospital Hulu Terengganu di sini semalam.
Kelmarin Kosmo! melaporkan lelaki berasal dari Sungai Buaya, Dungun berkenaan dilaporkan lemas dipercayai akibat kekejangan otot ketika sedang mandi di dalam sungai tersebut yang terletak berhampiran sebuah rumah rakit.
Ami Azzizol yang baru melangsungkan perkahwinan dengan Syarifah berbulan madu di rumah rakit berkenaan bersama keluarga mentuanya.
Menurut Syarifah, sehari sebelum kejadian, suaminya berperangai aneh membeli pakaian, selipar dan telefon pintar berwarna putih sedangkan itu bukanlah warna kegemarannya sebelum ini.
Dalam pada itu, dia menyifatkan tempoh 10 hari bergelar isteri kepada Ami Azzizol sebagai detik paling membahagiakan dalam hidupnya.
“Kami mengikat tali pertunangan pada Disember lalu sebelum bernikah pada 21 Mac lepas setelah lima tahun berkenalan sejak di bangku sekolah.
“Walaupun cuma 10 hari, saya tetap bersyukur dijodohkan dengan suami yang bukan sahaja rakan pendengar baik malah anak yang taat,” katanya.
Sementara itu, ibu Ami Azzizol, Zabidah A Rahman, 60, berkata, dia tidak menyangka tragedi anak sulungnya yang lemas 17 tahun lalu berulang pula kepada anak bongsunya.
“Anak sulung saya yang ketika itu berusia 21 tahun meninggal dunia akibat lemas selepas bot fiber dinaikinya bersama sembilan rakan terbalik di kuala Sungai Dungun.
“Kini anak bongsu saya (Ami Azzizol) pula temui ajal akibat lemas juga. Walaupun hati saya remuk tetapi reda dengan suratan takdir,” katanya.
Zabidah berkata, Ami Azzizol yang merupakan anak bongsu daripada lapan beradik amat rapat dan manja dengannya.
“Kali terakhir kami berjumpa apabila saya mengunjungi kedainya di Pasar Besar Dungun pada pukul 9 pagi, Jumaat lalu,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud memberitahu mayat mangsa dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat.