PUTRAJAYA – Semua Menteri dari UMNO tidak akan melepaskan jawatan masing-masing dan akan terus kekal berada di dalam Kabinet selepas kesepakatan dicapai antara mereka susulan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Isnin lalu.
Menerusi satu kenyataan rasmi hari ini, Perdana Menteri berkata, dengan kesepakatan itu, Kabinet akan berfungsi seperti biasa.
Beliau turut memberi jaminan bahawa segala inisatif kerajaan termasuk usaha menangani masalah Covid-19 dan
memulihkan ekonomi negara akan terus dilaksanakan seperti yang dirancang.
“Menteri-Menteri dari UMNO telah menemui saya pada hari Isnin lalu dan meminta nasihat mengenai kedudukan mereka di dalam kabinet berikutan keputusan Perhimpunan Agung UMNO bahawa parti itu akan memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Saya telah menasihati mereka supaya terus kekal berada di dalam Kabinet. Ini mengambil kira kepentingan rakyat dan negara. Alhamdulillah, atas nasihat yang saya berikan, kesepakatan telah dicapai bahawa semua Menteri UMNO akan terus kekal berada di dalam Kabinet,” katanya.
Terdahulu, beberapa menteri daripada UMNO mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, di sini, Isnin lalu.
Antara menteri yang dipercayai bertemu beliau ialah Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah yang juga Ahli Parlimen Lenggong dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba yang juga Ahli Parlimen Tenggara.
Sementara itu, dalam kenyataan sama, Muhyiddin berkata, beberapa orang Menteri dari UMNO memegang portfolio-portfolio penting yang berkaitan dengan fokus utama kerajaan pada masa ini.
Katanya, pada masa ini, tumpuan utama kerajaan adalah untuk memerangi Covid-19, melaksanakan program imunisasi kebangsaan dan memulihkan ekonomi negara.
“Justeru, saya tidak mahu peletakan jawatan mereka dari Kabinet menjejaskan segala perancangan kerajaan,” katanya.
Sebelum ini, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di ibu negara mengambil ketetapan untuk memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu pada PRU-15 kelak.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata usul memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu yang menerajui kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu dipersetujui sebulat suara oleh perwakilan parti yang menghadiri perhimpunan itu.
Perhimpunan tahunan itu turut meluluskan usul Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) seramai 42 orang tidak akan bersama kerajaan PN apabila Parlimen dibubarkan. -K! ONLINE