PUTRAJAYA – Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar akan mengadakan lawatan rasmi ke Republik Turki, Qatar dan Republik Islam Iran bermula hari ini hingga 6 April depan.
Kementerian Luar Negara (KLN) berkata, lawatan itu jelas menunjukkan kepentingan yang diletakkan oleh negara ini terhadap hubungan dan kerjasama dengan ketiga-tiga negara di rantau Asia Barat tersebut.
Menurut KLN, Kamarudin dijadual mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dan pihak-pihak berkepentingan di Turki, Qatar dan Iran.
“Antara agenda utama yang akan dibincangkan adalah untuk meningkatkan kerjasama erat sedia ada dalam pelbagai bidang termasuk pemulihan pasca pandemik Covid-19 serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
KLN berkata, lawatan itu dikendalikan berdasarkan tatacara-tatacara dan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 yang amat ketat seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta pihak-pihak berkuasa kesihatan yang berkaitan di tiga negara berkenaan.
“Dalam lawatan itu, Kamaruddin akan turut disertai pegawai-pegawai daripada Kementerian Luar,” katanya. -K! ONLINE