fbpx

Jubli perak biduanita bersuara emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
ADHAM SHADAN, PENOLONG PENGARANG BERITA

PERJALANAN hidup ini yang mencabar. Menguji segala kekuatan. Dalam kembara yang penuh debar. Ku berpegang jalan-Mu oh Tuhan.

Demikian bait-bait lirik lagu Jawapan Di Persimpangan yakni lagu pertama dirakamkan penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin bagi album sulungnya Siti Nurhaliza I yang dilancarkan pada 1 April 1996.

Barangkali kala mengalunkan lagu tersebut 25 tahun lalu, seorang gadis desa dari Kuala Lipis tidak menyangka debar kembara kerjayanya bukan sekadar mampu bertahan bahkan gemilang sehingga suku abad.

Betapa tidak, pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) 1996 dengan lagu Jerat Percintaan itu juga ialah penyanyi yang masih digelar hos AJL pada Mac 2021 sebagai ‘penyanyi no.1 negara’ selain dinobatkan artis Malaysia paling banyak distrim di Spotify dan Joox bagi tahun 2020.

Dari era pita kaset sehingga data platform digital, dari zaman gadis sehingga ibu, kedudukannya masih di situ.

Esok, 1 April 2021 genaplah 25 tahun Siti dalam industri muzik. Sambutan berstatus jubli perak itu mungkin amat bermakna bagi Siti memandangkan usaha meraikan #JubliSiti25 telah diatur sejak Oktober lalu dengan pertandingan mencipta logo dan penyiaran video-video jarang dilihat sepanjang kerjayanya di Youtube rasmi Siti setiap hari sehingga ke hari ini. Siti juga bakal muncul dengan album kanak-kanak berjudul Legasi.

Biarpun terlihat indah dengan kejayaan, kerjaya Siti tidaklah bermula mudah. Ketika dunia artis sebelum ini sinonim kerlipan glamor dan imej ‘berani’, gadis dilabel kampung ini pernah ditempelak kerana cuba menongkahnya dengan pegangan prinsip enggan dipasangkan bersama artis lelaki dan memakai pakaian dedah sana sini sehingga disindir ‘lebih baik jadi ustazah’.

Sepanjang kerjaya Siti telah merakam 18 buah album studio, dua album duet, lapan album konsert, 11 album kompilasi dan lebih 250 lagu.

Malaysia Book of Records turut memahat namanya sebagai artis paling banyak menerima anugerah dengan kini mengumpul lebih 300 anugerah.

Siapa artis Malaysia berpakej lengkap menggondol vokal terbaik wanita Anugerah Industri Muzik sebanyak 13 kali dan bintang paling popular tujuh kali jika tidak Siti yang digelar Alicia Keys sebagai Suara Asia ini?

Siapa dia yang tidak dikalahkan dalam pertandingan antarabangsa baik di Kazakhstan, China atau Australia jika tidak pemenang Voice of Asia 2002 dan Anugerah Emas Festival Muzik Shanghai 1999 serta ‘penakluk’ Royal Albert Hall London ini.

Jualan tiket konsertnya mengatasi Mariah Carey di Singapura dan menjadi artis pertama Malaysia membuat konsert secara langsung di televisyen Indonesia.

Siti juga mencipta fenomena luar biasa di Nusantara. Jualan tiket konsertnya mengatasi Mariah Carey di Singapura dan berjaya menembusi benteng penyiaran Indonesia apabila menjadi artis pertama Malaysia membuat konsert secara langsung di televisyen Indonesia. Konsertnya tersiar di Trans Tv Indonesia berjudul Mutiara Negeri Jiran cukup menggambarkan betapa negara itu amat menyanjung Siti apatah lagi slogan propaganda ‘Ganyang Malaysia, selamatkan Siti Nurhaliza’ yang pernah tercetus menunjukkan mereka pun tidak sanggup kehilangan sahmura Malaysia ini yang mungkin tiada duanya.

Biarpun seorang artis, Siti Nurhaliza cumalah manusia biasa yang mengajar kita bahawa hanya dengan keteguhan pegangan prinsip dan keberanian menongkah kelaziman itu mampu melahirkan kejayaan luar biasa sehingga menjadi nilai tambah yang seolah-olah tidak tersisa kepada sesiapapun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI