BERMULA sekadar suka-suka membuat persembahan di sekolah sempena Hari Guru, nama Zaki Yamani perlahan-lahan mendaki tangga populariti.
Seperti kata pepatah, ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi, dengan lontaran vokal yang bernada tinggi, gaya dan aura yang diserlahkan remaja belasan tahun itu tidak ubah seperti Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah iaitu bapa kandungnya sendiri.
Video nyanyian Zaki yang dirakam dan dimuat naik dalam laman YouTube itu tidak semena-mena tular dan menjadi buah mulut netizen.
“Itulah, saya sendiri pun tidak sangka video nyanyian ketika berada di tingkatan satu di sekolah boleh tular.
“Ramai puji suara saya sama dan tiada bezanya dengan ayah (Jamal). Padahal masa itu saya bukan bawa lagu-lagu ayah pun,” bicaranya kepada HibGlam usai sesi fotografi baru-baru ini.
Meneruskan perbualan, pemilik nama sebenar, Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah, 15, memberitahu, sejak video nyanyiannya tular, namanya mula dikenali terutama dalam kalangan pengikut yang sebaya.
Single
Melihat potensi dan bakat nyanyian yang dimiliki, Zaki kemudian dilamar label rakaman Rusa Music sebagai artis naungan.
Bermula daripada situ, anak muda berzodiak Scorpio itu mula diberi kepercayaan untuk menerbitkan single perdana yang menjadi pengenalan identiti kariernya.
Memulakan debut nyanyian, single pertama berjudul Percayaku dendangan Zaki merupakan sebuah lagu bergenre pop. Menariknya lirik dan lagu tersebut ditulis sendiri olehnya.
“Alhamdulillah Percayaku sudah menemui pendengar sejak tahun lalu. Penerimaannya juga agak memberangsangkan.
“Bagaimanapun, saya akui masih banyak yang perlu dipelajari agar dapat menghasilkan lebih banyak karya berkualiti pada masa akan datang,” ujarnya.
Membuka tirai 2021, Zaki sekali lagi hadir dengan sebuah single terbaharu berjudul Slowmo sentuhan gandingan komposer Cat Farish, Pablo, Unji dan Newell.
Cuma sedikit berbeza dengan karya terdahulu, Slowmo menampilkan genre pop hip-hop yang lebih segar dan bertenaga.
“Sebenarnya kalau ikutkan genre, jujurnya saya lebih suka genre yang sebegini. Lebih dekat dan kena dengan jiwa saya. Satu lagi genre yang saya teringin bawakan ialah genre muzik reggaeton.
“Mungkin genre tersebut boleh saya cuba untuk buah tangan seterusnya nanti,” kata Zaki yang sangat mengidolakan Hael Husaini dan Andi Bernadee dalam soal nyanyian.
Bahagi masa
Biarpun masih berada di bangku sekolah dan bakal menghadapi Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) hujung tahun nanti, Zaki berharap dapat membahagikan masa antara pelajaran dan karier muzik dengan baik.
Buat masa ini, jadual seni diuruskan ibunya Fatimatulzahra Samat yang juga merupakan bekas isteri ketiga Jamal.
Zaki banyak dibantu dan sentiasa dipantau ibunya agar tidak leka dan lalai terhadap pelajaran.
“Ibu banyak berpesan nak jadi apa sekali pun terpulanglah, tetapi pendidikan mesti diberi keutamaan.
“Sama juga seperti ayah, dia sering menasihatkan saya untuk terus fokus dalam pelajaran dan bijak membahagikan masa antara nyanyian dan akademik.
“Ayah sentiasa menyokong minat anak-anaknya dan tidak pernah menghalang untuk ikut jejak langkahnya asalkan tidak hanyut tanpa arah tujuan,” tuturnya yang sememangnya bercita-cita menjadi jurutera sebagai karier utama.
Kolaborasi, lakonan
Ditebak mengenai perancangan karier muziknya, Zaki menyatakan dia bakal berkolaborasi dengan seorang penyanyi baharu, Adilia Hilda dan Santesh menerusi sebuah lagu raya tidak lama lagi.
Bukan setakat itu, lagu berjudul Gari sentuhan Cat Farish juga bakal diluncurkan sebagai single seterusnya nanti.
Zaki juga memberitahu, dia baharu sahaja mendapat tawaran lakonan bagi sebuah drama yang akan disiarkan menerusi slot Dahlia siaran TV3.
“Watak dan peranan menerusi drama tersebut masih diperincikan, tetapi tawaran dan perbincangan itu sudah dilakukan.
“Mungkin ini cabang rezeki untuk saya selain nyanyian sebagai keutamaan,” ujarnya menoktahkan bicara.