LONDON – Gambar sebuah bot panjang tersekat di laluan air di Cambridgeshire, England mencuri perhatian netizen yang mengaitkannya dengan insiden kapal kontena MV Ever Given terkandas di Terusan Suez, lapor akhbar Metro UK kelmarin.
Menerusi gambar lama yang dikongsi semula di laman sosial Facebook, bot dinamakan Ouse Who sepanjang 13.7 meter itu terkandas di antara dua tebing terusan yang sempit dalam kejadian mirip insiden menimpa kapal kontena terbesar di dunia tersebut.
Bagaimanapun, apa yang membezakan kedua-duanya adalah gangguan perjalanan yang dicetuskan Ouse Who tidak menyebabkan kerugian perdagangan dunia, sebaliknya mengganggu perjalanan kawanan itik selama sejam.
Pemilik bot seberat 20 tan itu, Gordon Chesterman berkata, insiden MV Ever Given mengingatkannya kepada kejadian hampir sama itu yang berlaku pada Disember 2012 ketika dia dan rakan-rakannya sedang beriadah menggunakan bot tersebut.
“Salah seorang rakan saya cuba mengemudi Ouse Who, namun memandang rendah lebar terusan yang menyebabkan bot kami tersekat hampir sejam.
“Anda tidak berdepan cabaran sebenar sehinggalah anda menyekat sebuah terusan. Saya bersimpati dengan kapten kapal MV Ever Given,” tulisnya di Facebook.
Ouse Who akhirnya bergerak semula selepas dibantu oleh seorang petani yang kebetulan lalu di kawasan tersebut dengan hanya menggunakan tali panjang dan bukan kapal-kapal tunda. – Agensi