PASIR MAS – Seorang remaja orang kelainan upaya (OKU) kategori lembam dikesan menjadi penagih dadah jenis pil kuda selepas diheret oleh bapa kandungnya sendiri yang merupakan penagih bahan terlarang itu.
Remaja berusia 16 tahun itu menjadi mangsa keadaan dan terpengaruh apabila sering mengikut bapanya ke sarang penagihan sehingga dia turut ketagih pil kuda.
Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan, Rohayu Ahmad berkata, pasangan anak beranak itu antara 149 individu yang dicekup dalam operasi bersepadu yang dijalankan pihak AADK bersama-sama polis baru-baru ini.
“Kita tahan dua beranak itu di Kota Bharu dan ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis pil kuda.
“Hasil siasatan awal mendapati, remaja itu terlibat dengan penagihan dadah sejak tahun lalu selepas menjadi mangsa keadaan kerana bapanya yang berusia 51 tahun selalu membawa dia ke sarang penagihan,” katanya pada sidang akhabr di Ibu Pejabat AADK Pasir Mas di Lubok Jong di sini hari ini.
Rohayu memberitahu, beliau terkejut dengan tindakan lelaki berkenaan yang sanggup menggunakan anaknya itu untuk mengaburi mata orang ramai daripada dikesan melakukan kegiatan yang salah di sisi undang-undang.
Katanya, AADK Kelantan telah berunding dengan keluarga untuk menempatkan remaja berkenaan ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) bagi proses pemulihan.
“Kita mahu dia bebas daripada belenggu dadah memandangkan usianya masih muda,” ujarnya.-K!ONLINE