SEBERANG PERAI – “Walaupun ibu saya telah berusia lebih 100 tahun, ingatannya masih kuat dan dia juga boleh mengecam sesetengah wanita yang pernah mendapatkan khidmatnya semasa menjadi bidan sebelum ini.”
Itu kata-kata M. Subramanian, 73, iaitu anak lelaki kepada wanita tertua di Malaysia ketika ini, A. Annamah, 110.
Subramanian berkata, meskipun daya ingatan ibunya masih tinggi, namun, tahap pendengaran serta penglihatan wanita itu pula semakin berkurangan.
“Lima atau enam tahun lepas dia masih boleh berjalan sendiri untuk ke mana-mana, boleh cuci kain sendiri dan sebagainya.
“Tapi, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dia lebih banyak duduk di atas kerusi roda sahaja,” kata Subramanian kepada pemberita.
Terdahulu, Malaysia Book of Records (MBOR) yang diketuai oleh Ketua Pegawai Operasinya, Christopher Wong hadir meraikan sambutan ulang tahun ke-110 wanita itu di Butterworth di sini hari ini.
Wong turut menyampaikan sijil pengiktirafan kepada Annamah kerana mempertahankan rekodnya sebagai wanita tertua di Malaysia sejak tahun lepas.
Mengulas lanjut mengenai petua kesihatan yang diamalkan ibunya, kata Subramanian, wanita itu juga menjaga pemakanan termasuk sering memakan herba selain kerap berpuasa sejak usianya masih muda.
“Dulu, seminggu sekali dia (ibu) akan puasa terutamanya hari Isnin. Dia juga tidak pernah duduk diam semasa kami tinggal di estet dulu.
“Balik kerja dia akan pergi tanam sayur, bela ayam dan sebagainya,” kata Subramanian.
Selain mempunyai lima orang anak dengan dua daripadanya masih hidup termasuk Subramanian, Annamah juga merupakan nenek kepada 17 orang cucu serta moyang kepada tujuh orang cicit. – K! ONLINE