CYBERJAYA – Sebanyak 587 pemohon berjaya membuat permohonan bagi kesemua 13 bazar Ramadan yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) tahun ini.
Yang Dipertuanya, Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, jumlah itu diperoleh selepas permohonan bagi penyertaan bazar Ramadan MPSepang 2021 dibuka sehingga 26 Mac lalu.
“Berdasarkan data permohonan, 12 daripada 13 bazar Ramadan memenuhi kuota bilangan petak yang ditetapkan
dan hanya satu bazar Ramadan yang mempunyai satu permohonan iaitu bazar Ramadan Taman Ambar.
“Bagaimanapun, MPSepang juga akan melihat cadangan untuk penambahan 80 petak lagi melihat kepada senarai pemohon menunggu iaitu seramai 204 orang,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Beliau berkata, proses saringan bagi semakan maklumat yang diberikan oleh pemohon sedang berjalan untuk tujuan verifikasi.
“Mana-mana pemohon yang memberi maklumat atau dokumen palsu sepanjang tempoh saringan, permohonan berkenaan akan terbatal serta-merta,” katanya.
Jelas Abd. Hamid, antara syarat tambahan yang ditetapkan bagi memenuhi kawalan ke atas prosedur operasi standard (SOP) adalah penjualan makanan perlu berkonsepkan preheat dan makanan ready-to-eat sahaja. – K! ONLINE