JOHOR BAHRU – Pusat Geokejuruteraan Tropika (Geotropik) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya menjejak punca air ‘akuifer’ di dalam kawasan hutan rekreasi universiti awam itu di sini.
Pengarah Geotropik UTM, Prof. Dr. Edy Tonnizam Mohamad berkata, penemuan itu menarik kerana sumber air ‘akuifer’ adalah sumber air berkualiti tinggi.
Jelasnya, sumber air itu juga merupakan air yang sesuai untuk dijadikan bahan minuman.
“Penemuan ini merupakan kejayaan terhadap eksplorasi air ‘akuifer’ batuan kerana sumber tersebut dijumpai di kawasan berbukit di mana kebiasaan kejayaan penemuannya adalah sangat rendah.
“Kejayaan ini hasil daripada kaedah eskplorasi air yang sistematik dan berinovasi melalui integrasi kajian geologi, geofizik dan geomatik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Edy Tonnizam berkata, melalui kajian itu, sumber air boleh didapati dengan kaedah menggali sedalam 156 meter dari permukaan tanah dan dianggarkan sebanyak 500,000 liter air boleh ditarik keluar dalam masa sehari.
Tambahnya, penyelidikan yang dibuat itu adalah daripada sumber pembiayaan Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) melalui dana Translational@Campus kepada kumpulan tertentu berdasarkan tema seperti Elektrik, Air, Keselamatan, Aset dan Pelancongan. – K! ONLINE