PETALING JAYA – Semua individu tanpa mengira status di negara ini tertakluk kepada undang-undang dan akan diambil tindakan sekiranya melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan telah menyediakan peraturan dan hukuman berdasarkan kesalahan yang dilakukan.
“Sekiranya terdapat kes pelanggaran SOP membabitkan selebriti atau mana-mana individu, mereka boleh melaporkan kepada pihak polis.
“Polis atau mana-mana penguat kuasa yang diberi kuasa melalui Akta 342 akan mengambil tindakan berdasarkan laporan tersebut,” katanya ketika sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan atau menghukum mana-mana individu yang melakukan kesalahan.
“Saya terima banyak maklumbalas dari orang awam membabitkan pelanggaran SOP namun saya tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan atau menghukum sesiapa.
“Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada mereka kerana menyalurkan maklumat dan saya juga telah menyalurkan perkara tersebut kepada pihak polis,” ujarnya. – K! ONLINE