fbpx

Tempahan hotel Nazrin ditolak kerana kad kredit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allahyarham Nazrin

SHAH ALAM – Pembantu peribadi kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle Fund), Allahyarham Nazrin Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, bahawa majikannya itu sempat menempah hotel untuk bercuti namun ditolak kerana masalah kad kredit.

Nurul Anisah Abdullah, 47, yang juga saksi pendakwaan ke–47 berkata, urusan tempahan melibatkan sebuah hotel terkemuka di Port Dickson, Negeri Sembilan itu dilakukannya pada 12 Jun 2018.

“Arwah (Nazrin) meminta saya membuat tempahan selama tiga hari bermula 17 hingga 19 Jun untuk bercuti sempena Aidilfitri dengan seorang anak lelakinya (hasil perkahwinan dengan isteri kedua).

“Selepas melakukannya secara atas talian, saya bagaimanapun menerima emel memaklumkan urusan itu tidak dapat diteruskan kerana masalah kad kredit,” katanya.

Beliau memberitahu demikian bagi menjawab soalan pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Asnawi Abu Hanipah mengenai urusan rasmi terakhir dengan Nazrin yang ditemui mati tiga tahun lalu.

Kata saksi itu, emel berkenaan diterimanya pada pagi sebelum kejadian dan diminta pihak hotel supaya memindahkan wang menerusi akaun bank sebelum jam 12 tengah hari sekiranya mahu terus membuat tempahan.

“Saya kemudian menghantar mesej kepada arwah untuk memaklumkan perkara berkenaan namun tiada balasan. Dua nombor telefon bimbit arwah juga dihubungi namun tidak diangkat,” katanya.

Mengulas lanjut, Nurul Anisah yang berkhidmat dengan Nazrin sejak Januari 2015 berkata, dia mengetahui mengenai kejadian itu ketika dalam perjalanan pulang beraya di Pahang antara pukul 2.30 hingga 3 petang hari kejadian.

“Arwah selama ini sememangnya amat jarang tidak menjawab pesanan mesej atau panggilan saya yang berkaitan hal kerja. Saya terkejut apabila disahkan oleh kakitangan syarikat mengenai kematian arwah,” katanya.

Dalam prosiding itu, Nurul Anisah turut mengesahkan salinan semua mesej dan log panggilan kepada Nazrin yang dikemukakan pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Samirah Muzaffar, 45, dan dua lagi remaja serta seorang lagi yang masih bebas warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari didakwa dengan niat bersama-sama melakukan pembunuhan yang menyebabkan kematian ke atas Nazrin, 47, di sebuah rumah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya pada 13 Jun hingga 14 Jun 2018.

Pendakwaan turut diwakili Timbalan–timbalan Pendakwa Raya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail, Ashyraf Ashy’ari dan Siti Rohaida Che Hamid.

Pembelaan pula diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, L.S Leonard, S.Suresh, Rahmat Hazlan, Savreena Kaur, Mardhiyah Siraj dan Zahriah Eleena Redza.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman bersambung lagi esok. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI