NEW YORK – Pakar-pakar meramalkan bahawa kebanyakan pasangan akan memerlukan bantuan perubatan untuk hamil menjelang 2045 akibat pencemaran bahan kimia yang merosakkan kesihatan termasuk kesuburan manusia, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Profesor alam sekitar dan kesihatan awam Sekolah Perubatan Mount Sinai di Bandar Raya New York, Shanna Swan berkata, pada tahun 2017, beliau mendapati purata jumlah sperma dalam kalangan lelaki Barat berkurangan lebih separuh berbanding tempoh 40 tahun sebelumnya.
“Berdasarkan analisis penurunan sperma pada 2017, saya meramalkan menjelang 2045, kita akan menyaksikan median jumlah sperma sifar.
“Justeru, kebanyakan pasangan dijangka terpaksa menggunakan kaedah persenyawaan dalam makmal (IVF) atau bantuan perubatan lain untuk hamil,” ujarnya.
Tambah Swan, beliau turut melihat terdapat peningkatan jumlah kemandulan dalam kalangan generasi muda.
“Saya mahu berterus-terang mengenai perkara ini meskipun ramai orang tidak suka bercakap mengenainya. Ini adalah masalah pembiakan dan ia mempunyai kaitan dengan alam sekitar.
“Orang ramai sedar bahawa kita menghadapi krisis kadar kelahiran, namun mereka menyatakan ia disebabkan oleh kelewatan melahirkan anak atau pilihan gaya hidup dan enggan mengaitkannya dengan bahan kimia.
“Saya mahu masyarakat sedar bahawa bahan kimia boleh memberi kesan negatif terhadap tahap kesuburan dan menjadi penyebab utama permasalahan tersebut tanpa menafikan faktor lain,” jelasnya kepada akhbar The Guardian.
Swan bersama para penyelidik lain turut mengkaji kaitan antara bahan kimia yang memasuki badan dan masalah kesuburan serta mengesahkan kaitan tersebut.
Bahan kimia phthalates dan Bisphenol A (BPA) yang digunakan dalam pembuatan plastik boleh mengganggu pengeluaran hormon seks seperti testosteron dan estrogen sekali gus menjejaskan kesuburan. – Agensi