PETALING JAYA – Penyanyi Nana Sheme berkongsi luahan hati dengan memohon pihak kerajaan negeri Sarawak supaya mempertimbangkan semula tempoh kuarantin individu yang masuk dan keluar ke negeri tersebut.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik Nana, penyanyi berusia 25 tahun itu mengakui sangat merindui keluarganya di Sarawak. Pada masa sama, Nana turut memohon kerajaan negeri Sarawak mempertimbangkan tempoh kuarantin asalkan seseorang itu telah melakukan ujian calitan Covid-19.
“Kerajaan negeri Sarawak yang saya sayangi. Dengan niat hati yang baik, tolonglah pertimbangkan untuk memendekkan sedikit tempoh kuarantin.
“Saya yakin ramai yang di seberang Laut China Selatan ini rindu nak jumpa dengan mak ayah (keluarga). Pada waktu sekarang bukannya pulang untuk berhari raya, asalkan dapat balik itu sudah memadai.
“Buatlah ujian calitan Covid-19 sebanyak mana yang dimahukan pun tidak mengapa asalkan tempoh kuarantin dapat dipertimbangkan (dipendekkan). Tolonglah sekurang-kurangnya lihat juga beberapa pilihan lain juga,” ujarnya dalam Instagram.
Pelantun lagu Hantu Atau Buaya itu turut merayu agar tempoh kuarantin dipendekkan memandangkan situasi golongan pekerja yang sukar mendapatkan cuti sehingga 14 hari.
“Jika anda (kerajaan) berada di tempat kami, cuba fikirkan bagaimana kami yang bekerja ini hendak mendapat cuti sehingga 14 hari. Sedih bila dengar mak ayah cakap ‘kami reda kalau tak dapat bersatu raya ini”.
“Harap tahun depan panjang umur kita raya sekali. Ada yang dah masuk dua tahun tak balik. Remuk hati,” kata penyanyi berasal dari Kuching, Sarawak itu.
Tambah Nana, dia juga telah bersedia sekira luahan hatinya itu mendapat kecaman daripada pihak yang tidak bersetuju dengan pandangannya.
“Mungkin saya tidak patut cakap begini, tapi saya telah bersedia untuk dikecam kerana kenyataan ini. Tapi ini ruangan saya untuk berkongsi pandangan dan saya tidak pernah menggunakan platform ini secara tidak bertanggungjawab,” katanya. – K! ONLINE