fbpx

Pengusaha bas terkesan Covid 19 disaran rujuk PMC-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Pengusaha bas yang memerlukan bantuan kerajaan bagi meringankan beban pembiayaan bas dan hutang sewaan akibat pandemik Covid-19 disarankan membuat rujukan di Pusat Mediasi Covid-19 (PMC-19).

Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi kenyataan berkata, (PMC-19) ditubuhkan oleh kerajaan bagi membantu orang awam menyelesaikan pertikaian yang berkait dengan ketidakupayaan untuk melaksanakan apa-apa obligasi kontraktual.

Katanya, PMC-19 dapat membantu golongan B40 dan M40 serta PKS dalam kategori mikro dan kecil dengan memberi subsidi bagi kos proses mediasi.

“Pengusaha juga disaran berunding dengan instusi kewangan atau syarikat kredit di bawah Akta Sewa Beli untuk berunding berhubung dengan kelayakan moratorium atau penstrukturan semula pembiayaan kenderaan.

“Mereka juga boleh membuat perundingan bersama institusi kewangan atau syarikat kredit di bawah Akta Sewa Beli untuk mengelakkan pemilikan semula kenderaan berlaku apabila pembayaran ansuran tidak dibuat,” jelasnya.

Kenyataan itu berkata, KPDNHEP telah mewartakan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 [Akta 829] bermula tahun lalu bagi membantu para pengusaha bas dan semua penyewa terlibat di bawah Akta Sewa Beli 1967.

Menurutnya, dengan wujudnya perundangan berkenaan, pengusaha bas yang terkesan disaran untuk tampil dan hadir berbincang dengan institusi kewangan atau syarikat kredit terlibat dalam Perjanjian Sewa Beli.

Katanya lagi, perbincangan itu adalah berhubung dengan kelayakan moratorium, penstrukturan semula pembayaran ataupun penyusunan semula pembiayaan kenderaan yang bertujuan mengelakkan pemilikan semula kenderaan berlaku apabila pembayaran ansuran tidak dibuat.

“Pengenalan perundangan ini telah banyak membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 sepanjang tahun lalu bermula April sehingga September,” katanya.

Katanya, tempoh perundangan berkenaan dilanjutkan melalui Perintah Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) (Pelanjutan Kuat Kuasa) 2021 berkuat kuasa mulai Januari sehingga Mac tahun ini.

“Perlanjutan tempoh perundangan telah ditambah bermula April sehingga Jun depan bertujuan memberikan pelepasan sementara daripada tanggungjawab perjanjian di bawah Akta Sewa Beli bagi suatu tempoh yang ditetapkan demi kelangsungan hidup,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI