PETALING JAYA – Kerajaan bersetuju membenarkan pembantu rumah yang mempunyai visa dan terkandas di kampung akibat penutupan sempadan negara untuk kembali bekerja di negara ini dengan syarat memohon melalui My Travel Pass.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebaik mendapat kebenaran, mereka perlu menjalani ujian saringan sebelum dan selepas ke negara ini.
“Mereka juga harus menjalani kuarantin wajib mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dan kos kuarantin perlu ditanggung oleh majikan masing-masing,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, atas rayuan daripada Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing, kerajaan turut bersetuju untuk membenarkan agensi-agensi ini memproses permohonan pengambilan pembantu rumah kerana ia dijangka mengambil masa 3 hingga 4 bulan.
“Walaubagaimanapun, kemasukan ke negara ini tertakluk kepada pembukaan sempadan negara atau mendapat kebenaran daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN),” ujarnya. – K! ONLINE