fbpx

‘Ngeri, ketuk pintu bawa jarum suntikan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak merancang untuk melaksanakan kaedah pemberian suntikan vaksin Covid-19 dari rumah ke rumah kerana dikhuatiri menimbulkan tanggapan ‘mengerikan’ dalam kalangan masyarakat.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, program imunisasi yang dilaksanakan kerajaan buat masa ini masih kekal dengan konsep sukarela.

“Saya rasa ia akan hantar mesej yang agak ‘mengerikan’ sekiranya ada orang ketuk pintu siap dengan jarum suntikan. Kalau kita hantar pemvaksin ke rumah penerima, orang takut untuk buka pintu,” katanya pada sidang akhbar perkembangan PICK di sini semalam.

Menurutnya, dalam kes-kes tertentu sekiranya terdapat penerima vaksin yang sudah mendaftar dan sukar untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV), maka pemvaksin akan dihantar ke rumah mereka, namun dijangkakan jumlah itu tidak ramai.

Sementara itu, Khairy memberitahu, PICK fasa kedua khusus bagi warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan individu yang menghidap penyakit kronik akan dilaksanakan bermula 19 April ini.

Katanya, janji temu bagi suntikan dos pertama akan diberikan menerusi aplikasi MySejahtera, panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) mulai 5 April ini.

“Sehingga semalam (kelmarin), MySejahtera menerima pendaftaran daripada dua juta individu yang layak bagi fasa dua daripada keseluruhan sembilan juta yang disasarkan.

“Saya yakin bilangan ini akan meningkat dari semasa ke semasa dibantu pelbagai usaha dan pendaftaran secara bersemuka yang digerakkan di seluruh negara buat masa ini,” ujarnya.

Menurutnya, kerajaan pada masa sama akan mendahulukan suntikan vaksin kepada mereka yang mendaftar awal bagi fasa tiga sekiranya bekalan vaksin mencukupi.

Bagaimanapun, jelasnya, sekiranya penerima vaksin bagi fasa dua yang mendaftar lambat, mereka akan diberikan kebenaran untuk ‘memotong barisan’ bagi menerima suntikan.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, kerajaan masih belum menerima keputusan rasmi daripada Kerajaan Arab Saudi berhubung ketetapan keperluan untuk diberikan vaksin kepada bakal jemaah haji tahun ini.

Ditanya berhubung kebenaran kepada hospital swasta bagi pembelian vaksin pula, Khairy berkata, beliau menggalakkan rundingan pembelian vaksin oleh hospital swasta, namun penghantaran paling awal bagi pasaran swasta adalah pada suku ketiga dan keempat tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI