Oleh KHAIRULMIZAN YAHYA
KUANTAN – Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merakamkan ucapan tahniah kepada Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) yang kini diiktiraf sebagai universiti oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM).
Wan Rosdy berkata, penganugerahan taraf sebagai universiti penuh itu diharapkan akan meningkatkan lagi hasil penyelidikan dan kualiti graduan sehingga universiti itu menjadi institusi pengajian tinggi yang ulung, bukan sahaja di negeri Pahang tetapi juga di peringkat antarabangsa.
“Kerajaan negeri berharap KUIPSAS akan terus maju dan berdaya saing dalam mendidik anak bangsa, khususnya bagi meningkatkan keupayaan dan kemakmuran negeri ini,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, penubuhan KUIPSAS bermula pada 27 Ogos 1996 sebagai Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) merupakan satu lakaran kejayaan yang harus diingati oleh seluruh rakyat negeri ini.
“Sepanjang penubuhan, KUIPSAS telah melahirkan graduan dalam pelbagai bidang dan merupakan antara aset terpenting pembangunan modal insan di negeri ini.
“Pendekatan KUIPSAS yang mengintegrasikan pembangunan ukhrawi dan kemahiran berteraskan industri merupakan ciri unik yang harus dikekalkan dan diperkasakan demi masa hadapan generasi akan datang,”ujarnya.