PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) menjelaskan tindakan advokasi dan nasihat oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhubung isu ubah usai ekzos motosikal ketika ini bukan pusingan U.
Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, perkara itu sudah dijelaskan olehnya secara terperinci pada 16 Mac lalu.
Beliau berkata, kenyataan dikeluarkan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang mendakwa ia satu tindakan pusingan U adalah tidak benar dan mengelirukan.
“Saya sudah menjelaskan bahawa JPJ mengambil pendekatan berbentuk advokasi dan nasihat dahulu, sebelum sebarang tindakan diambil terhadap mana-mana yang mengubahsuai ekzos motosikal.
“Justeru, JPJ memainkan peranannya dengan memberikan advokasi dan nasihat kepada pengguna jalan raya, bukannya semata-mata mengenakan saman terhadap pesalah jalan raya sebagaimana dakwaan sesetengah pemimpin politik seperti Guan Eng,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, berhubung kesalahan bagi pengubahsuaian tanpa kebenaran ekzos motosikal, dua pendekatan advokasi dan nasihat digunakan.
“Ia termasuk pengeluaran Notis Temu Siasat, di bawah Seksyen 114(1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi membolehkan JPJ melakukan siasatan dan pengumpulan maklumat berkaitan kesalahan pengubahsuaian tanpa kebenaran ekzos motosikal.
“Selain itu, JPJ juga akan mengeluarkan Notis Arah Periksa Kenderaan, di bawah Seksyen 61(1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Notis Larangan Penggunaan kenderaan (Notis PG1), di bawah Seksyen 59(1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – K! ONLINE