SEJAK diperkenalkan pada 1 Mac lalu, Operasi Khas Ubah Suai Ekzos (bising) di seluruh negara dilihat telah berjaya membuahkan hasil.
Tindakan saman bagi ubah suai ekzos boleh dilakukan mengikut Kaedah 103 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959 (LN 170/1959).
Setiap ekzos yang dipasang pada kenderaan bermotor perlu pada setiap masa diselenggarakan supaya berada dalam keadaan baik dan tidak boleh diubah suai sehingga menyebabkan bunyi bising.
Mana-mana individu yang membuat pengubahsuaian ekzos menjadi satu kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan jika disabitkan kesalahan.
Di bawah peruntukan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987, polis diberikan kuasa menyita motosikal bagi mengelakkan kesalahan sama berulang.
Sehingga kini, dianggarkan hampir 10,000 saman telah dikeluarkan kepada pemilik dan penunggang motosikal yang telah melakukan ubah suai ekzos sehingga mendatangkan bunyi bising.
Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi berkata, dia sangat menyokong usaha yang dilakukan pihak berkuasa, namun terdapat sedikit kekeliruan terutamanya berkaitan bunyi dikeluarkan ekzos diubah suai.
“Ada pemilik kenderaan yang mengubah suai ekzos telah disaman, tetapi selepas ujian dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), nilai desibel (dB) masih kekal rendah.
“Sepatutnya, golongan ini tidak perlu disaman kerana bunyi ekzosnya tidak bising. Mungkin mereka menukar ekzos baharu disebabkan ekzos lama sudah rosak,” tegasnya.
Usaha pihak berkuasa tersebut mendapat reaksi pelbagai daripada masyarakat terutamanya dalam kalangan para pengguna motosikal di negara ini.
Tinjauan dilakukan penulis dalam beberapa laman sosial menunjukkan, rata-rata pengguna motosikal kembali menukar ekzos kenderaan kepada yang asli.
Terdapat juga segelintir netizen menyuarakan rasa tidak puas hati kerana tidak mendapat maklumat secukupnya mengenai tatacara pengubahsuaian ekzos ditetapkan pihak berkuasa.
Azlan Sani memaklumkan, tidak semua pemilik kenderaan mengubah suai ekzos untuk tujuan mencantik dan melajukan kenderaan atau mengeluarkan bunyi bising.
“Ada pemilik kenderaan terutamanya motosikal klasik yang terpaksa menggunakan ekzos lain disebabkan kesukaran mendapatkan ekzos asli. Mereka ini tidak ada pilihan,” tegasnya.
Pakar Psikologi Trafik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Rozmi Ismail, Operasi Khas Ubah Suai Ekzos (bising) tidak seharusnya menyasarkan pemilik kenderaan sahaja.
Tegasnya, pihak berkuasa perlu bekerjasama dengan beberapa agensi lain bagi mengesan penjual, pengedar dan pengimport ekzos bising di negara ini.
Beliau memaklumkan, selagi pihak berkenaan tidak dikenakan tindakan, maka operasi yang dilakukan itu tidak akan membuahkan hasil seperti diharapkan.
“Saya rasa tidak adil sekiranya pemilik kenderaan sahaja dikenakan saman. Penjual, pengedar dan pengimport ekzos bising juga perlu dikenakan tindakan sewajarnya.
“Kalau tidak, perkara ini tidak akan selesai sampai bila-bila kerana pemilik kenderaan masih boleh menggunakan ekzos bising yang mudah diperoleh dalam pasaran tempatan,” ujarnya.