PETALING JAYA – Pelakon dan model popular, Haneesya Hanee bakal membawa nama Malaysia ke pertandingan ratu cantik Miss City Tourism yang akan di adakan di China pada Oktober nanti.
Dalam pertandingan tersebut, Haneesya atau nama sebenarnya Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahalan, 21, akan mewakili bandar raya Kuala Lumpur ke pertandingan yang akan disertai puluhan jelitawan mewakili beberapa kota di seluruh dunia.
Menerusi hantaran yang dimuat naik Haneesya dalam Instagramnya, gadis berkulit hitam manis itu mengakui berasa sangat gementar dan takut kerana bakal membawa nama negara ke pentas dunia menerusi pertandingan tersebut.
“Saya berasa sangat gementar dan takut kerana menggalas tanggungjawab sebagai Miss City Tourism Malaysia dengan mewakili bandar raya Kuala Lumpur.
“Ini merupakan satu tanggungjawab yang berat dan saya serius untuk menggalas tanggungjawab tersebut kerana ini merupakan peluang kedua saya. Seperti yang diketahui, peluang kedua tidak akan datang sebanyak dua kali. Tolong doakan saya,” ujarnya.
Dalam hantaran berbeza, Haneesya turut memberitahu bahawa, untuk menjadi seorang ratu sebenar, seseorang itu tidak memerlukan bentuk badan mengiurkan, wajah yang sempurna, rambut yang cantik dan populariti.
“Itu semua adalah bonus. Apa yang membuatkan seseorang itu menjadi ratu bukan daripada mahkota yang dipakai tetapi daripada jiwa mereka,” tulisnya dalam Instagram.
Pihak pengurusan yang bertanggungjawab memilik Haneesya ke pertandingan tersebut, Double Event Management memberitahu, pemilihan bekas peserta Dewi Remaja 2018/2019 dilihat tepat berdasarkan pengalamannya selain memenuhi kriteria seorang ‘ratu’ untuk membawa nama Malaysia.
Tujuan Miss City Tourism diadakan adalah bertujuan untuk mempromosikan bandar-bandar di seluruh dunia yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 dan memperkenalkan semula industri pelancongan dunia termasuk Malaysia. – K! ONLINE