KOTA BHARU – Polis Kelantan memerlukan penambahan bilangan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di empat daerah bagi mengekang jenayah penyeludupan dadah di sempadan negara.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata, empat daerah itu adalah Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah dan Jeli yang secara geografinya terletak di sempadan negara.
Katanya, polis akan memberi fokus kepada empat daerah itu kerana banyak kes kegiatan penyeludupan dilaporkan berlaku di lokasi berkenaan.
“Meskipun banyak kes dadah dan penyeludupan bahan terlarang di kawasan itu, ia tidak menghalang tugas polis untuk menjalankan operasi di situ.
“Sebelum ini, kita akan meminta bantuan dari Bukit Aman sekiranya terdapat kes besar melibatkan dadah. Jika pertambahan pegawai dan anggota di empat daerah ini, ia akan memudahkan kerja kita di kawasan sempadan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Shafien berkata, pegawai dan anggota JSJN di setiap daerah di negeri ini dianggarkan seramai 20 hingga 30 orang.
Katanya, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pula, seramai 70 orang pegawai dan anggota dicatatkan ketika ini.-K! ONLINE