PUTRAJAYA – Pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) 3.0 adalah bersandarkan kepada kepentingan ekonomi dan isu teknikal bukannya bersandarkan kepada kepentingan politik.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, keputusan untuk kembali ke jajaran asal (ECRL 3.0) adalah dibuat untuk memaksimumkan kelebihan dari segi ekonomi dan teknikal bagi keseluruhan projek dan kesan limpahannya.
Beliau berkata, jajaran baharu itu membolehkan laluan pintasan dari Serendah ke Pelabuhan Klang untuk servis Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) diintegrasikan ke dalam keseluruhan projek.
“Keputusan tersebut menjadikan servis kereta api KTMB lebih cekap kerana ia dapat menyelesaikan masalah laluan kargo ke KTMB yang ketika ini mempunyai isu kesesakan apabila melalui daerah pusat perniagaan Kuala Lumpur.
“Keputusan ini juga meningkatkan taraf keselamatan orang awam kerana kereta api kargo KTMB yang sekarang ini melalui stesen KL Sentral dan Bank Negera sering membawa bahan-bahan berbahaya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bagi menafikan dakwaan dibuat sebuah portal berita yang mengaitkan ECRL 3.0 dengan kepentingan politik.
Ka Siong berkata, penyambungan melalui jajaran asal ke Pelabuhan Klang dengan West Port dan North Port menawarkan laluan yang lebih baik untuk perdagangan antarabangsa dan menjadikan laluan yang lebih menarik untuk industri
perniagaan berorientasikan eksport.
Beliau berkata, jajaran ECRL 3.0 juga dijangka akan meningkatkan pembangunan dan perbandaran baru serta memacu aktiviti komersial di sekitar kawasan baru seperti Puncak Alam dan Kapar. – K! ONLINE