fbpx

Dua nelayan hilang selepas jatuh bot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Operasi SAR mencari dua nelayan hilang masih diteruskan sehingga hari ini.

PARIT BUNTAR – Dua nelayan termasuk seorang warga Indonesia dilaporkan hilang dipercayai terjatuh dari bot masing-masing di dua lokasi berbeza di Perairan Kerian, semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kuala Kurau, Leftenan Maritim Mohd. Faiz Sujari, berkata terdahulu pihaknya menerima maklumat kira-kira pukul 9.40 malam mengenai kehilangan seorang warga Indonesia yang dikenali sebagai Gong Drong.

Katanya, lelaki berkenaan dilaporkan terjatuh dari bot muatan kayu bakau yang terbalik di Perairan Kuala Gula akibat cuaca buruk, manakala dua lagi rakannya warga tempatan yang berada di dalam bot itu berjaya menyelamatkan diri dan berenang ke sangkar ikan berhampiran.

“Sejurus menerima laporan pihak Maritim menggerakkan aset ke lokasi bagi membuat pencarian awal namun tidak menjumpai sebarang petunjuk,”katanya ketika ditemui di sini semalam.

Pada masa sama, Mohd. Faiz memaklumkan, kira-kira pukul 3 pagi tadi pihak menerima satu lagi maklumat kehilangan seorang nelayan warga tempatan dikenali sebagai Cheah Teang Kee, 61.

Lelaki berkenaan dilaporkan hilang di Perairan Tanjung Piandang ketika memukat ikan.

” Berdasarkan maklumat diterima, mangsa keluar menangkap ikan pukul 2 petang semalam dan komuniti nelayan disini menjumpai sampan milik mangsa hanyut di kedudukan lapan batu nautika di Barat Tanjung Piandang.

Susulan laporan kehilangan dua nelayan itu, 17 anggota terdiri dari Maritim, Pasukan Polis Marin Pengkalan Kuala Kurau, Jabatan Perikanan, Bomba dan Agensi Pertahanan Awam (APM), serta dibantu 13 nelayan daerah Kerian, telah menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di dua lokasi berbeza iaitu di Perairan Kuala Gula dan Tanjung Piandang bermula pukul 8 pagi tadi.

“SAR masih diteruskan dan kawasan pencarian turut diperluaskan makala bot gentian kaca yang dijumpai dan disahkan milik mangsa kedua telah ditunda ke jeti Kampung Nelayan, Jalan Pantai, Kuala Kurau, “katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI