PUTRAJAYA – Dua buah kontena dari Amerika Syarikat yang tiba di Pelabuhan Klang, Selangor Sabtu lalu disahkan sebagai barang dagangan HS3915 iaitu sisa plastik jenis Polyethylene.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menjalankan pemeriksaan ke atas dua buah kontena itu dan menafikan ia mengandungi sisa plastik seperti yang didakwa.
Beliau berkata, pemeriksaan ini turut mendapat kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Westport Malaysia Sdn. Bhd.
“JPSPN telah mengesahkan bahawa sisa plastik tersebut adalah bersih, homogenous dan memenuhi kriteria seperti yang disyaratkan di dalam lesen import sisa plastik (Approved Permit, AP) kepada pengimport.
“Selaku Competent Authority kepada Basel Convention, JAS mengesahkan bahawa sisa plastik tersebut adalah mematuhi kriteria B3011 Basel Convention,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, pengimportan sisa plastik B3011 itu tidak memerlukan prosedur Prior Inform Consent (PIC) dan notifikasi daripada negara pengeksport.
Tuan Ibrahim berkata, semakan JAS ke atas premis pengimport juga mendapati premis mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan menjalankan aktiviti kitar semula sisa plastik secara Environmental Sound Manner (ESM),” katanya. – K! ONLINE