LANGKAWI – Penempatan Bukit Malut di sini yang didakwa didiami warga Myanmar akan disusun semula menjadi sebuah perkampungan baharu dilengkapi dengan kemudahan asas.
Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tanah di kawasan tersebut akan dijual kepada penduduk di situ secara lot dengan harga berpatutan.
Katanya, penduduk kemudian boleh membina rumah dan premis perniagaan mereka sendiri di situ.
Menurut Mahathir, kawasan berkenaan yang menjadi penempatan penduduk berasal dari Kedah sebelum berhijrah ke Myanmar itu merupakan milik kerajaan negeri dan syarikat swasta.
“Mereka sanggup beli (tanah) itu dengan harga berpatutan. Jadi mereka boleh tinggal di sini (Bukit Malut) secara halal, bukan secara rampas harta orang.
“Tanah dah buat lot pun dah ada dah. (Kawasan) baru ini kita kena buat lot. Kita kena tentukan jalan tersusun elok supaya dia tak berkecamuk, bila berkecamuk, nak bekal api dan air payah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan mengadakan pertemuan dengan penduduk di Bukit Malut di sini hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, pada peringkat awal, jumlah penduduk menetap di kawasan tersebut tidak ramai seperti sekarang.
“Bertambah (penduduk) bukan orang baru tapi (mereka) berkahwin sini dan dapat anak serta membesar di sini sampai 40 tahun,” ujarnya. – K! ONLINE