MACHANG – Seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) ditemui lemas ketika sedang mandi bersama lapan orang rakannya di air terjun Jeram Linang dekat Banggol Judah di sini hari ini.
Mangsa, Muhammad Aiman Ikwan Azmi, 19, ditemui lemas kira-kira pukul 3 petang, selepas rakan-rakannya tidak dapat menyelamatkan lelaki itu ketika dia berada dalam keadaan terkapai-kapai kelemasan.
Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy berkata, siasatan mendapati, mangsa yang berasal dari Kampung Banggol Jenereh, Tanah Merah bersama rakan-rakannya turun untuk mandi di kawasan air terjun itu pada pukul 2.45 petang.
Katanya, sewaktu kejadian, rakan-rakannya melihat mangsa berada dalam keadaan tenggelam timbul dan dikhuatiri dia telah lemas ketika itu.
“Rakan-rakan yang lain cuba untuk menyelamatkan mangsa, namun gagal apabila mereka perlu berdepan dengan arus deras air terjun itu.
“15 minit kemudian, mangsa kelihatan telah timbul di permukaan air sebelum beberapa rakan berusaha menyelamatkannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Ganti berkata, mangsa telah dibawa ke kawasan tebing air terjun sebelum salah seorang rakan telah menghubungi pihak polis dan bomba.
Katanya, pasukan bomba yang tiba cuba memberi bantuan pernafasan, namun mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Jeram.
Katanya, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – K! ONLINE